Wednesday, January 13, 2010

minum setitik lepas 24 jam sah ada kanser

Kementerian Kesihatan akan menyiasat secara menyeluruh dan terperinci berhubung kandungan air sisa pusat cuci kereta yang didakwa mengandungi bahan kimia bahaya sehingga boleh mendatangkan penyakit kanser.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abd Rasid Shirlin, berkata pihaknya memandang serius berhubung laporan akhbar semalam, kerana ia boleh mengancam tahap kesihatan masyarakat.

"KKM melalui jabatan kimia kini sedang menyiasat dakwaan terbabit bagi mengenal pasti kandungan bahan cuci yang digunakan itu boleh mendatangkan bahaya serta kesannya kepada barah.

"Satu kajian menyeluruh dan terperinci dilakukan bagi memastikan semua pusat cuci kereta menggunakan bahan yang sama kerana melalui pendedahan akhbar itu, kita tidak boleh menuduh semua pusat cuci kereta menggunakan cecair yang sama..mungkin hanya segelintir berbuat demikian.. Jangan kerana nila setitik habis susu sebelanga...

"Namun, sekiranya dakwaan yang didedahkan itu betul iaitu pusat cuci kereta menggunakan "snow wash" yang mengandungi bahan kimia berbahaya, kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan segera terhadap kedai berkenaan dan tidak mustahil akan diarahkan tutup kerana ia mengancam nyawa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas Laporan Khas Berita Minggu, semalam yang mendedahkan air sisa basuhan daripada lebih 10,000 pusat cuci kenderaan yang dianggarkan beroperasi di negara ini, di kenal pasti antara punca pencemaran sumber air hidupan laut yang boleh menyebabkan kanser.

Ia berikutan penggunaan "snow wash" mengandungi bahan kimia Linear Alkylbenzenes (LABs) tanpa sebarang sekatan atau larangan, malah hampir 95 peratus daripada pusat cuci kenderaan langsung tidak dilengkapi sistem aliran dan rawatan sistem air, sebaliknya terus disalurkan ke longkang atau sungai.

Saintis dan Pakar Forensik Alam Sekitar, Pencemaran Marin, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Mohd Pauzi Zakaria dalam kenyataannya semalam mendakwa sekiranya air sisa basuhan kenderaan itu direbus dan diminum cuma setitik, mereka yang meminumnya akan disahkan menghidap kanser dalam tempoh 24 jam.

Rosnah berkata, kementerian memandang serius berhubung tahap kesihatan penduduk kerana sekiranya ia benar-benar berlaku, banyak penduduk akan terdedah kepada ancaman bahaya berkenaan.

"Kajian yang dilakukan itu akan didedahkan kepada media dalam masa terdekat bagi memastikan kandungan cecair itu mengandungi bahan kimia seperti yang didakwa itu.

"Dalam tempoh terdekat ini, KKM menyarankan supaya semua majikan pusat cuci kereta menitik berat soal keselamatan pekerja iaitu memakai sarung tangan dan alat pelindung muka bagi menjaga keselamatan diri," katanya.

0 comments: